Saturday, November 29, 2014

KARIPAP SEDAP RANGGUP.


Assalammualaikum. Selamat berhujung minggu.




Tak boleh sembang panjang2 ni. Cukup sekadar melepas rindu pada blog sambil menitipkan satu lagi resepi simple dan sedap. Sedap pada tekak aku dan harap sedap pada selera anda semua.




 
Masa zaman 'tanam anggur' selama 3 tahun dulu pernah buat jualan karipap ni. Memang tak menang tangan! Resepi dari sahabatku Asmah Manjalara. Pada aku ini memang resepi yang terbaik pernah aku miliki. Resepi ikhlas dari dia untuk aku yang dok terkais pagi makan pagi masa tu. Aku pernah beri juga resepi ni pada orang2 yang berniaga dan selalu fail bila bab2 pastry karipap jadi cepat lembik dan lemau. Tapi ada juga yang suka karipap yang pastrynya liat2 dan lembik sikit kan? Terpulang pada selera masing2.









KARIPAP SEDAP RANGGUP
Sumber: Asmah Manjalara

Bahan2
500gm tepung gandum
1/2 cawan minyak masak
2 sudu makan margerine
1- 2 sk garam
air sejuk dari peti ais secukupnya

Cara2.
Panaskan minyak hingga berdesir dan masukkan margerine. Tutup api dan biarkan margerine cair.
Masukkan tepung dalam mangkuk besar dan buatkan lubang ditengah2 tepung. Campur garam.  Curahkan minyak panas ke dalam tepung dan gaul dengan senduk. Bila minyak sudah agak sejuk ramas tepung dengan hujung jari menjadi seperti serbuk roti. Tuang air sikit2 dan uli hingga lembut. Tutup dengan towel atau simpan dalam bekas bertutup lebih kurang 20-30 minit sebelum digunakan.




Inti karipap boleh guna resepi masing2. Ini adalah yang selalu aku gunakan sekadar rujukan untuk diri sendiri. Aku lebih suka guna keledek dari kentang sebab aku suka inti yang rasanya manis2 sedikit. Bahan2 ni boleh adjust lebih kurang ikut suka sendiri.

Inti karipap.

Bahan2.
500gm keledek putih
1 biji bawang besar (saiz sedang) dihiris
2 sudu makan cili kisar (nak pedas lebihkan)
1 gengam udang geragau (rendam sekejap)
1- 2 sudu makan rempah kari daging
1 pokok (1 cekak) daun sop
minyak, garam, gula, serbuk perasa.

Cara2
Bersihkan keledek dan dipotong dadu. Udang geragau ditumbuk sedikit. Bancuh rempah kari dengan sedikit air. Daun sop dipotong halus.
Panaskan minyak tumis bawang besar dan cili kisar. Gaul rata hingga cili masak  dan masukkan udang geragau. Kacau2 dan masukkan rempah kari. Bila rempah sudah masak masukkan sedikit air, garam, gula dan keledek. Jika air sudah kering dan keledek belum empuk tambah sedikit2 air hingga keledek empuk dan inti agak kering. Taburkan daun sop dan gaul rata dan tutup api. Sejukkan sebelum diguna.

Buat seperti karipap biasa. Semasa menggoreng gunakan minyak yang banyak dan goreng dengan api yang perlahan supaya karipap cantik licin dan tidak menggerutu.





Tips***
1. Aku guna tepung cap sauh sebab tepung ini senang diuli dan tidak 'kejung' bila dicanai. 
2. Guna keledek yang kulitnya bewarna kecoklatan dan isinya putih sebab ia lebih lembut. Keledek oren menyerap banyak air dan membuatkan inti agak lembab dan tidak tahan lama.
3.Daun sop memberikan rasa yang berlainan pada inti karipap.
4. Gunakan kuali yang tebal untuk mengelakkan minyak menjadi sangat panas dan karipap yang terhasil menjadi cantik. Karipap yang di atas tu agak menggerutu sebab buat sikit aku goreng dalam kuali kecil yang nipis.





Bye-bye.

No comments:

Post a Comment