Thursday, July 24, 2014

RENDANG DAGING YANG SEDAP GILER!

Assalammualaikum.

Bukan perasan bukan perah santan. Bukan aku yang kata tapi orang2 yang dah merasa yang kata. Rendang daging yang sangat sedap! Sangat sedap makan dengan ketupat, nasi impit dan lemang di hariraya. Tambah dengan kuah kacang resepi mak mertua memang terangkat lah!

Dah jadi macam signature dish pula untuk aku sebab kalau buat rendang daging aku mesti guna resepi ni sejak dulu lagi. Resepi dari sahabat dan sifu aku dalam dunia masak memasak ni Puan Asmah Manjalara. Sejak buat guna resepi dia memang aku tak buat rendang yang lain dah.

Kunci utama untuk mendapatkan rendang yang sedap dari pengalaman aku ialah bahan2 mentahnya mesti fresh dan asli. 

Kalau orang tempah rendang, seboleh2nya aku akan mendapatkan kerisik asli dan santan pekat tak campur air dari kampong di Batang Kali. Kalau korang duduk area sana pergilah ke Pasar Basah Batang Kali dan beli santan pekat serta kerisik dari kedai kelapa Kak Mah. Puashati sangat dengan santannya. Rendang jadi lemak dan hitam macam rendang Tok. 

Satu lagi rendang ni ada campuran rempah ratus. Sangai hingga wangi tapi jangan sampai hangus. Rempah ratus ni lah yang akan membangkitkan lagi kesedapan rasa rendang. Harum semerbak satu rumah. Baru lah terasa suasana raya.


Untuk raya kali ini aku terus dapat order dari En Sham ex boss jiran aku si Zura. Tahun ni kali ke 4 atau ke 5 dia repeat order untuk rendang ni. Order awal untuk dibawa terbang ke London bersama anak cucu beraya di sana. Dia kata rendang  ni lain dari yang lain. First time rasa terus terpikat.





Dah lama nak share resepi ni dan alhamdulillah hari ini berkesempatan untuk menulis di sini. Pada yang masih mencari2 resepi rendang untuk hari raya ini bolehlah mencuba resepi ini.

RENDANG DAGING SEDAP GILER.
By : Asmah Manjalara.

Bahan A
1kg daging
8 biji bawang merah (aku guna 5-6 biji bawang besar sedang)
5 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan B 
2 inci lengkuas muda
7 batang serai - hiris
 2 sudu makan ketumbar (rata)>
1 sudu makan jintan manis      > sangai hingga wangi
1 sudu makan  jintan putih      >

3 cawan cili kisar
2 biji santan - aku guna 1kg santan pekat
4 sudu makan kerisik - aku guna 6 sudu
2-4 helai daun kunyit-carik2kan
garam, asam jawa dan  gula

Cara.
Kisar bahan A. Tapis dan airnya diguna untuk kisar bahan B. Kalau tak cukup tambah sedikit air. Kisar bahan B.
Panaskan minyak tumiskan bahan A hingga ringan. Masukkan cili kisar dan masak sampai pecah minyak. Masukkan bahan B dan kacau hingga wangi. Pastikan minyak mencukupi. Jika kurang bahan2 tumis tidak cukup masak. Masukkan daging dan gaul rata hingga bercampur semuanya. Bila daging dah keluar air masukkan santan, daun kunyit dan sedikit garam. Masak hingga daging empuk. Boleh tambah air jika daging masih belum empuk. Masukkan kerisik, air asam jawa dan gula. Rasa masam manisnya.

Cara memasak menggunakan periuk Noxxa.

Tekan butang stir fry dan masukkan minyak. Bila sudah panas masukkan bahan A. Kacau hingga ringan. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan bahan B dan kacau hingga wangi. Off kan butang stir fry. Masukkan daging, santan, kerisik dan daun kunyit. Untuk sekilo daging santan pekat lebih kurang 1/2 bahagian periuk dan jangan terlalu kurang cecair (santan) untuk mengelakkan bahagian bawah dasar periuk berkerak. Gaul rata. Tutup periuk dan tekan butang high pressure selama 30-40 minit. Bila sudah cukup masa keluarkan angin dari periuk dan buka tutup periuk. Tekan butang stir fry untuk mengeringkan rendang. Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Suaikan rasa ikut selera. Kacau2 selalu dan masak hingga kering. Cara aku untuk mengeringkan rendang ialah aku alihkan rendang dari periuk PC ke dalam kuali dan keringkan dalam kuali besar. Lebih mudah untuk mengacau hingga kering.

***Tips.
1) Pastikan bahan2 yang ditumis benar2 masak supaya rendang tahan lama.
2) Bila rendang telah agak2 kering kecilkan api dan kacau sekali sekala sehingga terbit minyak. 
3) Rendang yang cantik dan tahan lama ialah apabila minyak telah keluar dari rendang itu.
4) Untuk membuang minyak yang berlebihan - kuakkan rendang ke arah ke luar kuali hingga membentuk bulatan dan biarkan minyak yang berlebihan bertakung di tengah2 kuali. Bila telah sejuk ambil rendang ditepi2 kuali tanpa mengusik minyak yang bertakung di tengahnya.
5) Jika menggunakan periuk PC set masa 20-30 minit untuk daging batang pinang dan daging biasa selama 30-40minit. Proses mengering rendang akan menjadikan daging lebih lembut.
6) Jangan tutup rendang yang masih panas dengan dulang atau tutup periuk. Ini menyebabkan rendang cepat basi. Tutup kuali dengan tudung saji yang besar (bulat).
7) Gunakan rempah2 yang masih baru dan disangai hingga wangi. Rempah2 ini yang membuatkan rendang menjadi lebih sedap. Percayalah...jika rendang anda sedang menggelegak dan bau harumnya mula terhidu dan buatkan anda berasa lapar atau terasa nak makan maknanya rendang itu pasti sedap. Suaikan rasa masam, manis dan masin.

Ini adalah rendang yang aku buat bersama pulut kuning dipertandingan Hari Keluarga Perkep tahun lalu dan mendapat tempat pertama. Berebut2 nak rasa rendang selepas tamat pertandingan.













Resepi ikhlas dari aku untuk dikongsi bersama family dan orang2 tersayang.

Giler masak, giler kentang tak pe. Jangan giler meroyan!. 

Salam Aidilfitri.


Wednesday, July 23, 2014

KING & QUEEN OF COOKIES - ALMOND LONDAN & TAT NENAS.


Assalammualaikum. Salam manis.

Dah rasa dekat sangatkan nak raya. Lagu2 raya dah mengambil tempat di mana2 sekarang ini. Macam biasa dah usia2 mencecah usia emas ini semangat nak beraya semakin berkurangan. Jika dapat merasai suasana raya macam masa dulu2 adalah sangat2 bahagia rasanya walaupun cuma sekejap. Sekarang ni bila dalam perjalanan pulang ke kampung atau bila dah beramai2 berkumpul di rumah mak baru mood raya tu datang tapi sekejap je. Memang miss betul masa dulu2. Apa2 pun Alhamdulillah kita pernah merasai saat2 itu.

Menyekut kita? Pun dah hampir 2 3 tahun ini keghairahan menyekut semakin hilang. Mungkin kudrat semakin lesu. Nafsu menyekut pun dah semakin pudar. Kena terima hakikat bulan puasa kali ini aku tewas dengan bahang panas yang semakin membara. Setakat terdaya untuk menghabiskan Ramadan ini pun dah cukup baik pada aku. Nak buat benda2 lain yang menagih tenaga dan kekuatan fizikal aku kena fikir 2 3 kali. Bahkan banyak kali supaya puasa aku tetap terpelihara. 

Wah!...panjang intro kau macam panjang list biskut raya nak buat. Bahan2 ada yang dah beli tapi akhirnya hanya dua jenis biskut ini sahaja yang mampu aku buat itu pun sebab ada yang mengidam sangat biskut ni so aku pun tumpang sekaki untuk biskut aku.





Tat nenas biskut evergreen sepanjang zaman. Di mana sahaja terhidang biskut ni pasti habis! Aku suka inti yang dibuat sendiri. Lebih terasa masam manis nenasnya. Kesedapan lemak manis dan lembut kulit tat nenas juga bergantung pada kreativiti. Resepi lebih kurang sama cuma campuran bahan2 yang menentukan kesedapan kulitnya. Paling utama gunakan butter yang berkualiti. Pasti puashati. Makan tak berhenti2. Resepi dari sahabat lama Jamie Jepun. Insyaallah aku sharekan nanti. 






Almond London - back by popular demand. Regular customer dulu2 masih mencari biskut ni. Suatu masa dulu hampir beribu2 pcs aku dapat tempahan untuk biskut ni. Sangat laris sebab Almond London aku ni lain dari yang lain. Dulu aku memang tak suka dengan biskut ni tapi bila jumpa sifu aku Asmah Manjalara resepi dia ni memang pukul habis resepi2 yang lain. Alhamdulillah..








Tat nenas tu pun dah tinggal setengah balang. Inti masih banyak lagi mungkin lepas raya baru sambung menyekut. 
Jadilah kan..daripada tiada.

Akhir kalam... Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin dari Baked By Cik Ta.

Take care.




Tuesday, July 22, 2014

PENANG FRIED KUEW TEOW.


Assalammualaikum. 24 Ramadan 1435H.





Hanya beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan pergi. Entah berjumpa entah tidak di Ramadan akan datang. Iktibar dari tragedi Gaza dan MH 17 kematian itu ada di mana2, bila2 masa sahaja. Di langit, di bumi, di lautan dan di daratan ia tetap menghampiri kita. Jika saat itu tiba biarlah ianya dalam husnul khatimah. Moga kita sentiasa dirahmatiNya.

Dihujung2 Ramadan ini rasanya setiap kali iftar dan sahur hanya masak yang simple2 sahaja. Simple2 pun nasi tetap ada. Walau berbuka dengan juadah2 yang lain nanti lepas2 tarawih budak2 ni akan cari nasi juga. 

Penang fried kuew teow ini ada 2 3 kali aku buat untuk berbuka. Selalunya main campak2 apa aje yang ada kat dapor tapi kali ni aku tertarik dengan resepi dari Kak Jee ini. Cara kak Jee buat kuew teow ni yang buat aku tertarik nak mencubanya. Ala Penang style yang sangat simple tapi sedap! 






Ikut cara Kak Jee sebijik2 kalau nak dapatkan rasa kuew teow seperti yang diceritakan. Api kena besar dan buat pantas. Bahan2 kena dah sedia ada macam yang kita selalu tengok orang goreng keow teow kat kedai tu. Resepi ni resepi favourite customer masa dia berniaga dulu. Klik sini dan sini untuk penerangan yang lebih detail dan resepinya. Resepi di bawah untuk seorang atau satu portion. Kak Jee pesan buat sikit2 lagi sedap dari buat banyak sekaligus. Kira ini resepi untuk orang berniaga lah. Thanks kak. Anak2 suka kuew teow ni. Rasa telur yang garing buatkan rasa kuew teow ni lain dari yang lain dan buatkan aku teringat2!.


PENANG FRIED KUEW TEOW.
resepi asal : Kak Jee

Bahan2.
1 gengam kecik kuew teow (jenis yang halus bukan lebar)
3 ekor udang
1 biji telur
1 sudu sambal tumis
2 sudu besar kicap manis cap kipas udang
1 sudu kecil sos/kicap ikan/nampla
1 ulas bawang putih
kerang (direbus dan kopek)
taugeh (suka hati banyak mana)
kucai (potong 2 inci)

Cara
Ketuk bawang putih. Panaskan minyak dan tumis bawang putih (api besar). masukkan udang dan balik2kan dalam 1 minit. Tepikan sikit udang(tolong tepi sikit!...hihihi) dan masukkan telor. Biarkan dalam 1 minit dan kecilkan api. Masukkan kuew teow, kucai, sambal tumis, kicap manis dan sos ikan. Besarkan api dan kacau cepat2 hingga rata. Masukkan taugeh dan kerang. Kacau2 lebih kurang tutup api dan hidang. 

***Tips dari kak Jee.

Jangan masak taugeh terlalu lamananti kurang ranggup.
Cuba masak satu2. Kalau masak sekali dua untuk tiga pinggan, lari rasanya. 
Kalau tak menjadi maknanya dapur anda tak cukup power! Lihat gambar dapur dan kuali di link di atas.
Kalau malas nak buat atau tak de sambal tumis beli je sambal kat makcik jual nasi lemak.




Lai!...lai!..lai!....keuw teow goreng satu!





Thursday, July 17, 2014

REZEKI RIMAU....NIKMAT MANA LAGI YANG HARUS KU DUSTAKAN.


Assalammualaikum. Ramadan Kareem.

Ada sedikit waktu terluang bolehlah update blog ni. 19 Ramadan hari ini. Alhamdulillah kita berada di bumi Malaysia yang aman damai. Masih dapat meraikan dan menghayati Ramadan dengan aman. Masih dapat mencicipi juadah2 enak setiap kali iftar tiba. Bandingkan dengan saudara2 kita di bumi Gaza sana. Mungkin puasa mereka melebihi dari waktu yang ditetapkan tanpa makanan untuk berbuka. Mungkin makanan yang terhidang cukup sekadar mengalas perut menunggu waktu berpuasa untuk keesokan harinya. Mungkin tiada ketenangan dalam amal ibadat bilamana bunyi letupan bom menenggelamkan gema azan dan tadarus mereka. Alhamdullilah...nikmat mana lagi yang harus kita dustakan.

Bukan membangga, riak dan angkuh dengan paparan ini. Sekadar perkongsian bersama betapa ukhwah persaudaraan sesama kita masih kuat terutama di bulan mulia ini. Masing2 berebut2 bersedekah semampu yang boleh. Jiran tetangga adalah orang yang paling dekat dan paling mudah sekali untuk diberi dan menerima sedekah. 

Ini adalah juadah iftar minggu lalu. Aku geleng kepala melihat juadah memenuhi meja sampaikan nak letak pinggan nasi pun tak muat dah. Sementelah pula meja makan kerajaan ini agak kecil untuk 6 kerusi sahaja. 

Beberapa kali ketukan di pintu rumah aku kedengaran dan tugas Iman untuk mengambil juadah2 dari jiran tetangga. Sampaikan ketukan yang keempat Iman dah meneka2 juadah apa pula yang tiba. 

Bila hubby balik dari Param beberapa bungkusan memenuhi tangan. "banyaknya beli?" aku melirik pada beg2 plastik warna merah.

"jumpa kawan tadi dia sedekah. Ambil je lah"..jawab hubby termengah2. 

Memang penuh meja petang itu sampaikan aku cancel nak buat kuew teow goreng. Alhamdulillah...bak kata mak rezeki rimau! 




Ayam goreng berempah lebihan sahur. Ikan selar goreng berlada yang aku buat. 




Nasi goreng cili padi pun lebihan nasi sahur. Sayang nak buang transformed jadi nasi goreng. Habis!




Kuih keria dari Zura jiran sebelah dan karipap dari Yenny jiran depan rumah.




Juadah utama dari Param adalah sate di Param Padang Jawa yang sedap sangat.




Kawan hubby belanja paru goreng garing, paru berlada, udang goreng ranggup dan yong tau foo.





Sampai tak cukup pinggan. Mangkuk2 semua keluar.














Faiz balik dari kelas singgah di Masjid Al Huda dan Masjid Ubudiah ambil bubur lambuk. Lebihan kacang tanah goreng nasi lemak semalam makan dengan bubur lambuk. Mix and match gitu. Lagi sedap dan kena kreatif.



Apam atau cupcake? entahlah...tak larat nak rasa. Dihantar oleh Liza jiran tingkat bawah sekali. Ingatkan ini juadah yang terakhir tapi dah dekat2 nak azan sampai lagi semangkuk bubur jagung dari jiran depan Zah Ganu. Tak sempat dah nak snap sebab kamera dah simpan siap2 nak bersantap. 

Habis ke semua tu? Memang ada yang tak habis. Aku bungkus2 suruh hubby bagi pada Bangla kat Petronas dan Indon2 yang ramai dikenalinya ketika dalam perjalanan ke Tarawih malam tu. 

Bertuahnya tinggal di Malaysia. Bumi aman damai cukup segala khazanah negara yang dapat dikongsi bersama.

Hmmm...alahai..tiba2 terdengar pulak lagu Dendang Perantau oleh Tan Sri P Ramlee. Nak raya dah kita yer..

Selamat mengumpul pahala di Ramadan yang semakin berakhir ini.

Wasalam.


Wednesday, July 16, 2014

AYAM PADPRIK DAN AYAM MASAK LEMAK CILI API TEMPOYAK.


Assalammualaikum.






Sudah separuh Ramadan yang kita lalui. Masa mula2 puasa hari tu bukan main lama sungguh rasanya nak menghabiskan Ramadan. Rasa macam banyak sangat masa untuk beramal ibadat yang dapat diisi. Bila dah pertengahan ni terasa sangat pantas pula Ramadan untuk pergi meninggalkan kita. Jom! marathon beribadat mengumpul pahala sebanyak mungkin diwaktu2 terakhir ini. Semoga segala amal ibadat kita dilipat gandakan dan diterima oleh Allah swt. 

Rindu benar pada blog ini. Terlepas beberapa resepi yang aku buat untuk ditulis di sini gara2 kamera Lumix comel aku yang rosak. Sayang sungguh pada kamera itu. Banyak membantu aku mengabadikan setiap menu masakan untuk family di sini. Mungkin bulan puasa ini tiada resepi yang dapat aku kongsikan dan jadi kenangan untuk aku di sini. Harap2 kerajinan tiba untuk aku mengangkat DSLR Nikon yang agak berat itu bila ada masa terluang terutama di hari cuti. Kalau hari biasa jangan haraplah..

Hendak seribu daya...macam tu lah aku ni. Godek2 dan modified sana sini, tampal plaster dan ikat mana yang patut akhirnya berfungsi juga kamera aku. Penutup bateri kamera aku pecah! So now boleh bernyawa dah..walaupun nyawa2 ikan.





Ini resepi biasa yang aku buat hujung minggu lalu cuti panjang Nuzul Quran. Ayam padprik dan ayam masak lemak cili api dengan tempoyak. Fuh!...berminyak mulut lepas buka puasa tu. Aku guna 1 ekor ayam untuk buat 2 masakan ini. Walau pun seekor tapi aku rasa ayam ni agak besar sebab masa aku potong kecil2 paha ayam ini memang jelas pehanya besar dan bulat. Sengaja aku buat 2 jenis menu sebab bimbangkan anak2 yang tak menyukai tempoyak. Telahan aku silap bila ayam masak tempoyak ini yang cepat habis. Iman dan Anas makan menambah2. Mungkin sebab tempoyak yang aku gunakan masih baru dan sedap. 

Aku masak agak awal sebab nak bawa balik kampung, berbuka puasa di sana. Senang kalau dah sampai kampung boleh relax2 tak perlu tergesa2 nak sediakan juadah lagi2 bila dah letih lesu menahan penat dan bahang mentari sepanjang perjalanan.

Tak jauh mana pun kampung aku. Dalam sejam setengah dah sampai. Kali ni baru dapat balik untuk berbuka puasa dengan mak dan lain2. Mak tak berapa sihat sepanjang Ramadan ini. Aku nampak mak lebih uzur dari selalu. Lemah dan bertambah kurus. Namun puasa memang mak tak pernah tinggal. Biar terlantar lemah, biar perlu merangkak ke dapur pun mak tetap nak puasa. Tiba2 rasa sedih sangat. Airmata bergenang bila selalunya akal aku menerawang pada perkara yang bukan2. Moga mak terus sihat dan gembira selalu dan sentiasa di dalam lindungan Allah swt.






Ok..resepi ayam padprik boleh lihat di sini. Gantikan sotong dengan ayam. Errr..ayamnya potong kecil2 dan digoreng dulu ye.









Untuk Ayam masak lemak cili api tempoyak resepi seperti masak lemak cili api yang lain cuma ditambahkan tempoyak sahaja. Kalau boleh tempoyak jangan terlalu masam. Biar ada manis2 sikit. Kalau agak2 dah masam campurkan seulas dua dengan durian yang baru untuk seimbangkan rasanya.




Tempoyak yang sedap hasilnya dari durian yang sedap juga. Pada aku lah..walaupun durian sedap seperti musang king, d24 dan lain2 tu kureng sikit kalau dibuat tempoyak. Guna durian kampung yang memang rasanya lemak manis, isinya tebal dan baunya boleh buat musang meroyan. Pasti sedap tempoyak kau macam durian Balik Pulau tu. First time makan dulu dari bau je aku dah tau kalau buat tempoyak ni mesti sedap! Jangan buat tempoyak dengan durian yang nipis dan tawar nanti rasanya 'lari'.

Untuk rujukan aku dan kalau ada yang masih mencari2 cara masak ayam ni. Ini cara aku lah ye.






Ayam Masak Lemak Cili Api Tempoyak.

Bahan2.
1 ekor ayam (ikut suka)
15-20 biji cili api (ikut pedas)
2 biji bawang merah kecil
2 inci kunyit hidup
2 batang serai - titik
2 helai daun kunyit-carik2kan
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair/air
3 sudu besar tempoyak
garam

Cara2.
Bersihkan ayam. Kisar/tumbuk cili api, bawang merah dan kunyit hidup. Masukkan dalam periuk bersama serai, daun kunyit dan santan cair/air. Biar hingga mendidih dan cili api masak. Masukkan ayam dan masak hingga ayam empuk. Masukkan tempoyak, garam dan santan pekat. Kacau kuah perlahan2 hingga santan masak. Jangan sampai pecah minyak. Rasa masin manisnya. Siap.

Nota : 
Kuantiti tempoyak boleh ditambah jika suka rasa tempoyak dan inginkan kuah yang pekat. 

Imbangkan rasa manis masam tempoyak dengan rasa pedas. Masak tempoyak lebih sedap jika lebih pedas.

Permisi.