Wednesday, July 16, 2014

AYAM PADPRIK DAN AYAM MASAK LEMAK CILI API TEMPOYAK.


Assalammualaikum.






Sudah separuh Ramadan yang kita lalui. Masa mula2 puasa hari tu bukan main lama sungguh rasanya nak menghabiskan Ramadan. Rasa macam banyak sangat masa untuk beramal ibadat yang dapat diisi. Bila dah pertengahan ni terasa sangat pantas pula Ramadan untuk pergi meninggalkan kita. Jom! marathon beribadat mengumpul pahala sebanyak mungkin diwaktu2 terakhir ini. Semoga segala amal ibadat kita dilipat gandakan dan diterima oleh Allah swt. 

Rindu benar pada blog ini. Terlepas beberapa resepi yang aku buat untuk ditulis di sini gara2 kamera Lumix comel aku yang rosak. Sayang sungguh pada kamera itu. Banyak membantu aku mengabadikan setiap menu masakan untuk family di sini. Mungkin bulan puasa ini tiada resepi yang dapat aku kongsikan dan jadi kenangan untuk aku di sini. Harap2 kerajinan tiba untuk aku mengangkat DSLR Nikon yang agak berat itu bila ada masa terluang terutama di hari cuti. Kalau hari biasa jangan haraplah..

Hendak seribu daya...macam tu lah aku ni. Godek2 dan modified sana sini, tampal plaster dan ikat mana yang patut akhirnya berfungsi juga kamera aku. Penutup bateri kamera aku pecah! So now boleh bernyawa dah..walaupun nyawa2 ikan.





Ini resepi biasa yang aku buat hujung minggu lalu cuti panjang Nuzul Quran. Ayam padprik dan ayam masak lemak cili api dengan tempoyak. Fuh!...berminyak mulut lepas buka puasa tu. Aku guna 1 ekor ayam untuk buat 2 masakan ini. Walau pun seekor tapi aku rasa ayam ni agak besar sebab masa aku potong kecil2 paha ayam ini memang jelas pehanya besar dan bulat. Sengaja aku buat 2 jenis menu sebab bimbangkan anak2 yang tak menyukai tempoyak. Telahan aku silap bila ayam masak tempoyak ini yang cepat habis. Iman dan Anas makan menambah2. Mungkin sebab tempoyak yang aku gunakan masih baru dan sedap. 

Aku masak agak awal sebab nak bawa balik kampung, berbuka puasa di sana. Senang kalau dah sampai kampung boleh relax2 tak perlu tergesa2 nak sediakan juadah lagi2 bila dah letih lesu menahan penat dan bahang mentari sepanjang perjalanan.

Tak jauh mana pun kampung aku. Dalam sejam setengah dah sampai. Kali ni baru dapat balik untuk berbuka puasa dengan mak dan lain2. Mak tak berapa sihat sepanjang Ramadan ini. Aku nampak mak lebih uzur dari selalu. Lemah dan bertambah kurus. Namun puasa memang mak tak pernah tinggal. Biar terlantar lemah, biar perlu merangkak ke dapur pun mak tetap nak puasa. Tiba2 rasa sedih sangat. Airmata bergenang bila selalunya akal aku menerawang pada perkara yang bukan2. Moga mak terus sihat dan gembira selalu dan sentiasa di dalam lindungan Allah swt.






Ok..resepi ayam padprik boleh lihat di sini. Gantikan sotong dengan ayam. Errr..ayamnya potong kecil2 dan digoreng dulu ye.









Untuk Ayam masak lemak cili api tempoyak resepi seperti masak lemak cili api yang lain cuma ditambahkan tempoyak sahaja. Kalau boleh tempoyak jangan terlalu masam. Biar ada manis2 sikit. Kalau agak2 dah masam campurkan seulas dua dengan durian yang baru untuk seimbangkan rasanya.




Tempoyak yang sedap hasilnya dari durian yang sedap juga. Pada aku lah..walaupun durian sedap seperti musang king, d24 dan lain2 tu kureng sikit kalau dibuat tempoyak. Guna durian kampung yang memang rasanya lemak manis, isinya tebal dan baunya boleh buat musang meroyan. Pasti sedap tempoyak kau macam durian Balik Pulau tu. First time makan dulu dari bau je aku dah tau kalau buat tempoyak ni mesti sedap! Jangan buat tempoyak dengan durian yang nipis dan tawar nanti rasanya 'lari'.

Untuk rujukan aku dan kalau ada yang masih mencari2 cara masak ayam ni. Ini cara aku lah ye.






Ayam Masak Lemak Cili Api Tempoyak.

Bahan2.
1 ekor ayam (ikut suka)
15-20 biji cili api (ikut pedas)
2 biji bawang merah kecil
2 inci kunyit hidup
2 batang serai - titik
2 helai daun kunyit-carik2kan
2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair/air
3 sudu besar tempoyak
garam

Cara2.
Bersihkan ayam. Kisar/tumbuk cili api, bawang merah dan kunyit hidup. Masukkan dalam periuk bersama serai, daun kunyit dan santan cair/air. Biar hingga mendidih dan cili api masak. Masukkan ayam dan masak hingga ayam empuk. Masukkan tempoyak, garam dan santan pekat. Kacau kuah perlahan2 hingga santan masak. Jangan sampai pecah minyak. Rasa masin manisnya. Siap.

Nota : 
Kuantiti tempoyak boleh ditambah jika suka rasa tempoyak dan inginkan kuah yang pekat. 

Imbangkan rasa manis masam tempoyak dengan rasa pedas. Masak tempoyak lebih sedap jika lebih pedas.

Permisi.







No comments:

Post a Comment