Saturday, November 29, 2014

KARIPAP SEDAP RANGGUP.


Assalammualaikum. Selamat berhujung minggu.




Tak boleh sembang panjang2 ni. Cukup sekadar melepas rindu pada blog sambil menitipkan satu lagi resepi simple dan sedap. Sedap pada tekak aku dan harap sedap pada selera anda semua.




 
Masa zaman 'tanam anggur' selama 3 tahun dulu pernah buat jualan karipap ni. Memang tak menang tangan! Resepi dari sahabatku Asmah Manjalara. Pada aku ini memang resepi yang terbaik pernah aku miliki. Resepi ikhlas dari dia untuk aku yang dok terkais pagi makan pagi masa tu. Aku pernah beri juga resepi ni pada orang2 yang berniaga dan selalu fail bila bab2 pastry karipap jadi cepat lembik dan lemau. Tapi ada juga yang suka karipap yang pastrynya liat2 dan lembik sikit kan? Terpulang pada selera masing2.









KARIPAP SEDAP RANGGUP
Sumber: Asmah Manjalara

Bahan2
500gm tepung gandum
1/2 cawan minyak masak
2 sudu makan margerine
1- 2 sk garam
air sejuk dari peti ais secukupnya

Cara2.
Panaskan minyak hingga berdesir dan masukkan margerine. Tutup api dan biarkan margerine cair.
Masukkan tepung dalam mangkuk besar dan buatkan lubang ditengah2 tepung. Campur garam.  Curahkan minyak panas ke dalam tepung dan gaul dengan senduk. Bila minyak sudah agak sejuk ramas tepung dengan hujung jari menjadi seperti serbuk roti. Tuang air sikit2 dan uli hingga lembut. Tutup dengan towel atau simpan dalam bekas bertutup lebih kurang 20-30 minit sebelum digunakan.




Inti karipap boleh guna resepi masing2. Ini adalah yang selalu aku gunakan sekadar rujukan untuk diri sendiri. Aku lebih suka guna keledek dari kentang sebab aku suka inti yang rasanya manis2 sedikit. Bahan2 ni boleh adjust lebih kurang ikut suka sendiri.

Inti karipap.

Bahan2.
500gm keledek putih
1 biji bawang besar (saiz sedang) dihiris
2 sudu makan cili kisar (nak pedas lebihkan)
1 gengam udang geragau (rendam sekejap)
1- 2 sudu makan rempah kari daging
1 pokok (1 cekak) daun sop
minyak, garam, gula, serbuk perasa.

Cara2
Bersihkan keledek dan dipotong dadu. Udang geragau ditumbuk sedikit. Bancuh rempah kari dengan sedikit air. Daun sop dipotong halus.
Panaskan minyak tumis bawang besar dan cili kisar. Gaul rata hingga cili masak  dan masukkan udang geragau. Kacau2 dan masukkan rempah kari. Bila rempah sudah masak masukkan sedikit air, garam, gula dan keledek. Jika air sudah kering dan keledek belum empuk tambah sedikit2 air hingga keledek empuk dan inti agak kering. Taburkan daun sop dan gaul rata dan tutup api. Sejukkan sebelum diguna.

Buat seperti karipap biasa. Semasa menggoreng gunakan minyak yang banyak dan goreng dengan api yang perlahan supaya karipap cantik licin dan tidak menggerutu.





Tips***
1. Aku guna tepung cap sauh sebab tepung ini senang diuli dan tidak 'kejung' bila dicanai. 
2. Guna keledek yang kulitnya bewarna kecoklatan dan isinya putih sebab ia lebih lembut. Keledek oren menyerap banyak air dan membuatkan inti agak lembab dan tidak tahan lama.
3.Daun sop memberikan rasa yang berlainan pada inti karipap.
4. Gunakan kuali yang tebal untuk mengelakkan minyak menjadi sangat panas dan karipap yang terhasil menjadi cantik. Karipap yang di atas tu agak menggerutu sebab buat sikit aku goreng dalam kuali kecil yang nipis.





Bye-bye.

Friday, November 28, 2014

ROTI SARANG LEBAH...ADUH! SAKITNYA.

Assalammualaikum.

Jumaat yang barokah. Semoga ketenangan terus bertamu di hati.





Roti ini aku buat pada satu hari yang amat menyakitkan. Bahu bagai terbeban. Otak serabut dan darah tinggi pun naik. Sakit bila kepercayaan kita dirobek. Lagi sakit dari disengat lebah.

Tak mahu terus berpanjangan aku cuba terapi hati dan diri dengan cara aku. Memasak dan mencuba resepi baru. Terasa lapang minda bila fokus pada roti ini dan lega melihat roti berkembang naik. Terlupa seketika beban yang digalas. 




Ada banyak resepi roti ini di blog2 masakan dan lebih kurang sama. Resepi ini dah lama aku simpan. Ambil sana, sini sikit dan jadi satu resepi. 


  
 aku cuma ada almond slice sahaja untuk taburan di atasnya.

Resepi roti aku guna resepi dari FB Anie Japri yang dikatakan sangat lembut. Memang betul! Roti ini sangat lembut dan gebu. Macam kapas pun ada. Rasa macam tak percaya aku dapat hasilkan roti selembut ini. Sos Butterscotch pula dari blog Madiha. 

Untuk roti ini aku gunakan bread maker (BM). BM aku ini dari jenis Noxxa. BM cum conventional oven. Sangat memudahkan. Kalau BM lain ikutlah cara BM masing2 ye.




ROTI LEMBUT GEBU.
Sumber : FB Anie Japri dan Madiha

Bahan2.
500gm high protein flour (aku guna tepung gandum)
250ml air sejuk dari peti ais
1 biji telur
30gm susu tepung
80gm butter@margerin (aku guna Planta)
85gm gula
1sk garam
11gm yis (1 paket)
Bijan hitam, almond slice, sunflower seed atau apa2 sahaja jenis kekacang.


                                    

Cara2.
Masukkan semua bahan cecair ke dalam BM. Masukkan bahan2 kering dan set BM kepada Dough no. 10. Selepas 10 minit buka pintu oven dan ratakan adunan yang tertinggal ditepi mangkuk BM. Masukkan semula mangkuk adunan dan biarkan BM menguli hingga selesai. Apabila adunan sudah mengembang keluarkan dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Tumbuk2 doh untuk membuang angin dan bentukkan bulat2 sebesar buah langsat dan susun di dalam loyang.
Biarkan doh mengembang sekali lagi. Sapu doh dengan susu segar dan taburkan kuaci, almond dan bijan hitam.
Bakar pada suhu 150-160 selama 30 minit dan kekuningan. Setelah masak keluarkan dan sapu roti dengan margerine masa panas2.
Curahkan sos butterscoth bila menghidang.





Cara 'mengetatkan' doh...hihihi...pinjam jap ayat En Ross. Buat macam gambar di atas. Golek2 atau pusing2kan doh yang dalam 'gua' yang dibentuk dengan tangan tu. Golek2 sampai jadi licin.


Sos Butterscotch
Bahan2
1/2 cawan brown sugar
1/2 cawan whipping cream atau susu cair
25gm butter
sedikit vanila dan garam

Cara2.
Cairkan butter. Masukkan gula perang dan kacau hingga gula larut dan berbuih.
Masukkan cream dan garam. Kacau perlahan2. Akhir sekali masukkan vanila dan tutup api. Sejukkan sos.


Tips ***
Adunan agak lembik. Sapu tangan dengan minyak ketika membentuk roti.
Jika tiada susu segar boleh gantikan dengan susu tepung yang dibancuh dengan air untuk menyapu permukaan doh. Pastikan susu itu tidak terlalu pekat. Biar agak cair sedikit. Jika pekat permukaan roti akan cepat perang dan agak gelap. 
Sos hendaklah disediakan awal supaya sejuk dan agak pekat jika hendak memakan roti panas2 setelah dimasak. 






Permisi.




Friday, November 14, 2014

DAGING SEKILO BAWANG SEKILO...NANGISSSS!


Assalammualaikum.

Mencari-cari, 'mencuri-curi' sedikit waktu untuk mengupdate blog ini. Bertambah sibuk dekat hujung tahun untuk Annual Audit dan to implement GST untuk Accounting System kat ofis ni. Bila ada benda baru mula2 rasa macam susah gak nak faham. Insyaallah...berdikit2 lah kita ye.

Kalau kita jual kek, biskut, roti dan semua bagai makanan kena GST tak? Hihihi...nak cerita pasal GST ni panjang lebar untuk kita2 yang buat jualan sikit2 ni. Kalau ada barang2 untuk makanan tu kita kena charge GST pandai2 lah nak absorp cost samada kita atau customer yang kena bare the cost. Kalau customer yang bare the cost mahal pulak harga kek kita kan? so..tepuk dada tanya poket. Nanti lah kalau ada info2 GST yang berkaitan dengan orang2 macam kita ni aku cuba sharekan.

Ok...resepi kali ni pun resepi yang dah lama dalam list. Tengok nama resepi pun memang menangislah. Bukan menangis sebab guna bawang yang banyaknya sekilo tu tapi nangis sebab tak tahan nak kopek bawang yang sekilo tu. Pedih mata ko! Berjurai2 airmata dengan siksa pedih yang melanda. Sebab nak merasa juga macamana sedapnya resepi ni aku tahankan jugaklah.

Aku guna pressure cooker masak daging ni so tak lah lama sangat bertunggu tangga kat dapur. Masa buka tutup PC ni aromanya keluar sangatlah wangi dan sedap! Wah! macam ni rasanya tentu sedapkan?

Sedap tu memang sedap cuma kalau pedas sikit lagi sedap. Pada tekak aku lah. Next time mungkin cili merah tu boleh aku campur sikit dengan cili api. Kalau untuk makan budak2 kira ok lah guna cili merah je.

Resepi ni banyak kat internet. Aku ambil resepi dari blog Amie's Kitchen nun jauh di Sabah sana. Dia ni terror betul memasak. Singgahlah di blog beliau untuk macam2 resepi yang sedap.





DAGING SEKILO BAWANG SEKILO
Resepi : Amie's Kitchen

Bahan2
1 kg daging dipotong kecil
500ml santan cair
250ml santan pekat
5 ulas bawang putih-cincang halus
1kg bawang besar-potong kasar-kasar (aku guna bawang besar yang saiz kecil)
15 biji cili merah-potong nipis-nipis
3cm halia-tumbuk
1 batang kayu manis
3 kuntum bunga lawang
garam, gula, minyak dan perasa
1 st pati asam jawa

Cara2.

  • Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, halia, kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
  • Masukkan cili merah dan kacau hingga layu.
  • Masukkan daging dan bawang. Gunakan api besar supaya bawang dan cili merah cepat hancur.
  • Masukkan santan cair, perlahankan api dan tutup kuali supaya daging cepat empuk.
  • Setelah daging empuk dan kuah hampir kering dan bawang serta cili telah hancur masukkan santan pekat , garam, asam jawa, perasa dan gula. Gunakan api perlahan.
  • Kacau ssebati hingga terbit minyak. Rasa masin, manis dan masamnya sesuai tekak dan tutup api. Siap.
  • Sedap dimakan dengan nasi impit atau nasi putih
  • Jangkamasa memasak lebih kurang 2 jam tidak termasuk waktu penyediaan bahan2.

Tips :
Bawang yang banyak membuatkan rasanya agak manis so letak gula sedikit sahaja.
Kalau nak pedas menderhakalah sikit campur dengan cili padi potong2..hihihi...boleh ekk Amie.





Selamat berhujung minggu.

Saturday, October 25, 2014

AYAM PERI-PERI ALA NANDOS.


Assalammualaikum.

Selamat bercuti Maal Hijrah pada semua. Ini adalah scheduled entry. Mungkin masa entry ni dah published aku sudah berada di Kota Pahlawan, Surabaya, Jawa Timur Indonesia. Perjalanan yang tidak  dirancang. Semoga semuanya dipermudahkan.







Ok...resepi hari ini adalah resepi 'terjatuh cinta'. Cinta pandang pertama bila lihat resepi ni di blog Bicara Kak Nor.
Nampak sedap dan menggugah selera!

Sebenarnya ada cerita mengapa aku rasa nak buat sangat ayam peri peri ni. Setiap pagi nak ke ofis aku akan shortcut melalui Kerjaya Food Court dan selalu nampak lori Peri Peri Nandos ni parked kat one of the kilang kat situ. Tertanya2 apa ke benda lah Peri Peri ni? Ok..ini adalah serba sedikit source tentang Peri Peri dan Nandos yang aku cari di library en google. Kena tahu jugak asal usul menatang Peri Peri ni.
C&P je..tak larat nak taip panjang2.


Per-peri (piri-piri, pili-pili) merupakan spesis cili dalam kumpulan `Capsicum frustescens'. Perkataan `Pili-pili' ini berasal daripada bahasa Swahili yang bermaksud, `Pepper Pepper'. Cili peri-peri ini juga dikenali sebagai African Bird's Eye atau African devil.  Lada ini hidup dan boleh didapati di Malawi, Afrika Selatan, Ghana, Nigeria, Zimbabwe dan Mozambique.

Perisa dan sos peri-peri ini popular di Nando's yang merupakan sebuah rangkaian restoren yang berasal dari Afrika Selatan dan bertemakan Portugis (Portugese-Mozambiqan Peri-peri). Afrika Selatan adalah salah sebuah yang ada Cili Peri-peri. Pada tahun 1508, pelayar-pelayar Bangsa Portugis belayar merentasi lautan untuk mencari rempah-ratus dan telah menemui rempah peri-peri. 

Restoran Nandos ini dinamakan bersempena Nandie, anak lelaki Fernando Duarte salah seorang daripada pengasas Nando's. Duarte berbangsa Portugese-Mozambiqan. Duarte dan rakan kongsinya, Robert Brozin, membeli sebuah restoran dipanggil Chickenland di Rosettenville, Johannesburg Afrika Selatan pada tahun 1987. 

Dan sejak itu Restoren Nandos telah berkembang hinggalah sampai ke Malaysia ini.

(sumber google)

Walaupun dah sampai ke Malaysia tapi aku masih belum mencuba makan di situ. Bila terlihat Kak Nor share kat blog terus terjatuh cinta nak mencuba. Nampak cam sedap je. Presentation kak Nor buat aku tak sabar nak cuba. Cuti Diwali hari tu ambil kesempatan buat ayam ni. 







Ini yang dipanggang dengan kuali ajaib. Agak hangus sikit tapi tetap sedap!


Tak sempat nak hias2 bagai sebab semua dah tunggu nak bersantap. Sosnya agak gelap sebab aku campur sikit dengan gula sebab rasanya agak masam combination lemon dan cuka. Next time kena adjust masamnya. Sos pun pekat dan gelap sebab aku terover cooked. Leka dok tangkap gambar serimuka batik merah tu...hihihi.





ini yang dipanggang dalam oven. Cantik berkilat keoren2an. Macam ayam kat kedai mamak pun ada.


AYAM PERI PERI ALA NANDOS
Resepi : Bicara Kak Nor (C&P)

Bahan2
1 ekor ayam di bersihkan di potong 4
6 biji cili padi (ikut kepedasan masing2 nak tambah atau kurang)
1 biji cili capsicum
1 biji lemon di perah ambil nya
2 sudu besar paprika powder
2 sudu kecil garam
1 sudu besar serbuk oregano 
kaknoor guna oregano fresh di cincang
1/2 sudu kecil serbuk cili merah
1/2 cawan minyak sayur
5 ulas bawang putih
4 sudu besar cuka
1 sudu besar lada hitam tumbuk
1/4 sudu kecil pewarna merah atau oren


CARA NYA
1.  Kisar cilipadi, capsicum, bawang putih, masukkan air lemon, paprika, garam,serbuk cili merah, cuka, lada hitam dan pewarna dalam bekas besar.
2. Kacau sebati tambahkan dengan potongan daun oregano fresh dan ayam, gaul  rata dan peraplah selama 1 ke 2 jam.
3.  Panaskan kuali tak melekat panggang lah ayam tadi sehingga kekuningan sebelah luar nya, lepas tu baru lah dimasukkan dalam oven untuk masak sepenuhnya selama 30-40 minit dengan api 170'C.
4.  Lebihan marinade tadi ditambah dengan sedikit air dan masak lah sehingga pekat.
5.  Boleh lah dihidangkan bersama ayam peri-peri ni.





lepas ni nak gandingkan dengan potato salad dan coleslaw.


"mama nak tangkap gambar lagi?"

Iman memang dah tak sabar nak meratah ayam ni sebab dia sekarang diet makan nasi. So ratah ayam aje. Sebelum tu dia dah lama usha ayam ni nak buat chicken chop tapi aku suruh dia sabar sebab nak buat ayam Nandos ni.

Apa reaksi anak2?

"hmm..sedap sangat! Kenapalah mama masak semua yang sedap2?"

"mama nanti buat lagi"

Memang tak cukup lah 3 ketul peha tu harus diulang buat lagi.

so..? jom cuba cuti2 ni. Memang sedap!.






Pssttt...Azizah Syed..kalau kau baca entry ni cubalah Zah. Sedap! Anak2 mesti suka.

Rendang ari tu sedapkan?

Selamat bersantap.




Thursday, October 23, 2014

Serimuka Batik Merah.


Assalammualaikum. Salam Maal Hijrah.




Dua hari kerja. Satu hari cuti. Dua hari kerja. Dua hari cuti. Bestkan kalau tiap2 minggu cam ni. Awat lah cuti Diwali dan Maal Hijrah tak bersambung. Boleh panjang sikit cuti sampai hujung minggu. 

Semalam cuti Diwali masih berkesempatan nak cuba resepi dari blogger sebelah section rumah aku. Dari blog Kak Rose My Kuali duk section 19. Dekat je tapi tak pernah bersua muka. Blog aku pun dia tak pernah jengok lagi kot. Resepi asal dari Ratu Talam Yatie Memories.


Terpikat ngan warna merah putih pulut ni dan lapisan atas yang guna tepung kastad sepenuhnya. Selalu buat serimuka guna tepung gandum so try lah guna tepung kastad pulak.







Jangan panik kalau masa bancuh tepung ni warna kuning mencelah kastad tu nampak cantik sangat. Bila dicampur warna hijau baru terserlah hijau lumut yang cantik. Aku suka colour ni. Hijau campur kuning warna jadi hijau lumut yang lembut.

Resepi ni boleh dipelbagaikan. Kalau tak letak warna hijau dan campur sikit dengan durian boleh jadi serimuka durian. Pun sedap! Layer atas warna kuning dan bawah pulut putih dan merah. Cantik kan? Zaman moden ni kena pandai berinovasi dengan makanan supaya nampak cantik dan sedap.





Cuma aku tak letak telur sebanyak 4 biji tu. Aku letak sebiji je sebab tekak aku tak boleh nak telan kalau ada campuran telur yang banyak. Ikut selera sendiri lah ye.

Satu lagi guna tepung kastad ni adunan atasnya sangat licin dan cantik tapi serimuka yang aku buat ni terlebih kacau sampai agak pekat sikit so tak licin sangatlah.

Oh..satu lagi. Aku tak jumpa pulut merah kat sini so pulut yang 100gm tu aku letak pewarna merah je. Kira jadik lah ye. Resepi asal dari Yatie guna pulut hitam.


Thank you kak Rose untuk serimuka yang cantik dan sedap ni.







SERIMUKA BATIK MERAH

Bahan lapisan Bawah
400gm beras pulut
100gm pulut hitam (pulut putih aku warnakan merah)
300ml santan pekat
250ml air
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam halus

Cara2.
Rendam beras pulut sekurang2nya 3 jam.
Masak pulut putih bersama santan, air dan garam. Pulut 100gm tu aku asingkan dan letak pewarna merah.
Kukus pulut selama 30 minit.
Apabila pulut sudah empuk campurkan pulut putih dan pulut merah. Gaul Rata.
Tekan ke dalam loyang 10x10x2" yang telah dialas dengan plastik dan disapu minyak.




Bahan Lapisan Atas

Bahan A
250gm gula castor
100gm tepung kastad
400ml santan pekat
400ml air (blend 10 helai daun pandan dengan air - tapis dan ketepikan)

Bahan B
4 biji telur (aku guna 1 biji)
1/2 sudu kecil garam halus
1/2 sudu kecil pandan essence
pewarna hijau secukupnya

Cara2.
Satukan bahan A dan kacau rata. Campurkan bahan B dan kacau hingga sebati.
Tapis ke dalam periuk dan kacau hingga naik wap dalam 3 minit.
Tuang atas lapisan pulut dan kukus selama 30 minit.
Bila dah masak angkat dan sejukkan. Biarkan betul2 sejuk baru dipotong dengan pisau plastik.








Tips: kalau tak nak ada rasa hanyir telur basuh dahulu telur dan buang 'mata' atau talipusat telur itu.


" Hijrah itu perjuangan
  Hijrah itu persaudaraan
  Hijrah itu perpaduan.."


Permisi. Take care.













Saturday, September 27, 2014

MASAK LEMAK KUNING UDANG DAN KACANG PANJANG


Assalammualaikum. Salam semanis gula.






Tahulah kan senyum manis je sebab dah sampai cuti hujung minggu. Boleh bereskan segala macam kerja rumah yang hanya mampu dicuit-cuit sedikit tatkala hari bekerja.

Naik 'berbulu' mata tengok kain baju berlonggok tak berlipat. Basuh2, kering..longgok. Nak mengemas dapur, fridge dengan segala macam benda2 yang dah lama terperap. Dah expired pun ada. Semuanya nak tunggu hujung minggu yang selalunya lambat sangat sampai dan selalunya sampai pun sekejap sangat singgahnya. 

Kadang2 hujung minggu tu lah yang banyak nau agenda2 mengundang dan tersembunyi yang datang tanpa diundang. Last2 capai je lah mana yang sempat dicapai tangan. 
Alahai..itu semua bukan kat rumah korang tapi kat rumah aku! 





Ini resepi satu hari dulu sebab tiba2 ada banyak stok udang melimpah2 kat dalam fridge. Lama tak buat masak lemak udang ni. Tapi sikit tak puashati sebab santan yang dibeli cair dan kuah jadi tak lemak yang boleh memuaskan tekak dan menimbunkan lemak kat badan...hihihi..







Udang ni kalau dapat yang udang liar dari tengah laut memang sedaplah. Rasa manis dan segar. Tapi la ni udang-udang dari laut pun segar cuma bukan di tengah-tengah laut nun. Udang sekarang dah dibela di dalam sangkar tapi masih di dalam laut cuma diberi makan palet. Tu sebab kadang-kadang bila makan udang tu aku rasa macam makan palet je! Sabor je lah.








Sekadar catatan untuk diri sendiri dan yang baru2 belajar memasak. 

Masak Lemak Kuning Udang dan Kacang Panjang.

Bahan2.
500gm udang (boleh lebih jika suka)
3-4 batang kacang panjang (patah2kan aje)
2 cawan santan pekat
1 batang serai (titik)
1-2 biji tomato (belah 2)
1 helai daun kunyit (dicarik)
1 sudu kecil maggi cukup rasa
garam

Bahan Tumis.
3-4 biji cili merah 
cili api (ikut pedas)
3 biji bawang merah kecil
1 biji bawang putih
1 " kunyit hidup.

Blend/tumbuk semua bahan.

Cara2.
Bersihkan udang. Tumis bahan2 tumis dan serai dengan sedikit minyak hingga layu. Masukkan daun kunyit, santan dan kacang panjang. Kepekatan kuah bergantung pada citarasa sendiri. Kacau selalu supaya tidak pecah minyak. Agak2 santan hampir mendidih masukkan udang dan tomata. Masukkan maggi secukup rasa dan sedikit garam. Suairasa ikut selera sendiri. Bila dah mendidih tutup api.



Tips:
Boleh gantikan kacang panjang dengan kacang buncis.
Petua orang tua2 - kacang panjang hanya perlu dipatah2kan sahaja supaya tidak hilang manisnya.
Kacang buncis cantik dipotong serong.
Udang masak sekejap sahaja supaya tidak menjadi keras.





Tiba2 teringatlah pulak kat lagu ni nyanyian Arwah Datin Rafeah Buang.

        udang sama udang
             masak gulai dalam kuali
                  jikalau masih bujang
                      carilah teman berhati-hati....



Have a nice weekends.












Monday, September 8, 2014

IKAN CENCARU@JAKET MASAK TAUCU.


Salam manis.

Resepi yang simple je masak untuk anak2 semenjak dua menjak ni. Entah kenapa budak2 ni suka pulak kalau aku buat masak taucu ni. Selalunya kuah pasti habis yang tinggal ikan tergolek2. Mungkin sebab sebelum ni aku selalu masak tauchu dengan sayur..means buat sayur goreng bertaucu. Budak2 tak makan sayur sangat so bila aku buat ikan masak taucu baru dorang tau sedapnya rasa taucu ni.






Selalu aku guna taucu yang dibeli timbang di kampung sebab lebih sedap pada tekak aku lah. Kali ini guna taucu Adabi je yang ada jual kat sini.

Kalau masak taucu ni mak selalu guna ikan yang 'tawar' cam cencaru atau selar tapi nak guna ikan lain pun boleh.

Resepi sangat mudah. Boleh tokok tambah ikut selera sendiri. Ini pun main campak-campak je. Yang penting anak2 makan berselera. Ialah...air tangan mak kan!...buat masak bodoh2 pun semua sedap!




IKAN CENCARU MASAK TAUCU
Resepi olahan : Cik Ta (resepi sendiri lah...)

Bahan2
5 - 6 ikan cencaru/kembung/selar
1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
2 in halia
2 biji cili hijau/cili api (ikut pedas)
2 sudu makan taucu (ditumbuk sikit)
2 sudu makan sos tiram
1 sudu teh maggi cukup rasa
1 keping asam keping
air secukupnya

Cara.
Bersihkan ikan dan goreng. Hiris bawang2, halia dan cili.
Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan cili hingga wangi. Masukkan sos tiram, taucu dan maggi cukup rasa. Kacau rata. Masukkan asam keping dan air secukupnya (untuk kuah). Sudah mendidih masukkan ikan dan biarkan sekejap dan angkat.

Tips:
Kalau tak suka rasa masam boleh lah dikeluarkan asam keping setelah kuah mendidih.

Asam keping boleh digantikan dengan cuka makan.

Tak perlu masukkan garam sebab taucu dan sos tiram dah masin. Nak tambah pun no hal.

Adios.